Saturday, July 17, 2010

Kebas selepas bersenam

Saya berumur 28 tahun dan belum berkahwin. Saya mengalami masalah obesiti dan kini cuba melakukan senaman tetapi setiap kali melakukan senaman seperti berbasikal atau joging didapati bahagian kemaluan saya berasa kebas dan ia akan hilang apabila saya berhenti bersenam. Adakah ia bermaksud urat saraf di kemaluan saya tidak menerima darah yang sempurna ketika senaman?

Saya berumur 28 tahun dan belum berkahwin. Saya mengalami masalah obesiti dan kini cuba melakukan senaman tetapi setiap kali melakukan senaman seperti berbasikal atau joging didapati bahagian kemaluan saya berasa kebas dan ia akan hilang apabila saya berhenti bersenam. Adakah ia bermaksud urat saraf di kemaluan saya tidak menerima darah yang sempurna ketika senaman? Mat, Kepong Bersenam secara berkala sebahagian daripada amalan gaya hidup sihat yang digalakkan. Jadi usaha anda itu memang tepat sekali untuk menjaga berat badan di samping meningkatkan kecergasan tubuh badan. Kebiasaannya sebelum individu mahu mengamalkan senaman untuk tujuan tertentu, lebih-lebih lagi individu ada masalah kesihatan tertentu atau obesiti seharusnya perlu mendapat nasihat doktor atau sekurang-kurangnya nasihat penasihat fizikal.


Jika berat badan anda ketara, mungkin senaman yang biasa dilakukan di pusat senaman tidak sesuai dengan anda.


Joging atau berlari anak memang tidak sesuai jika anda amat obesiti. Berat badan anda itu akan memberi tekanan kepada semua sendi kaki dan lutut selain tekanan kepada tulang belakang anda. Bukan saja anda akan hilang sedikit berat badan tetapi anda akan hilang kekuatan sendi dan tulang belakang. Bersenam dengan menunggang basikal, jika dilakukan secara lama boleh mengakibatkan gangguan perjalanan darah ke anggota kelamin dan tekanan kepada urat saraf bahagian itu. Jika anda terasa kebas atau lenguh, itu petanda bahagian itu tertekan. Jika ini berlaku secara ketara, anda mungkin boleh mengalami masalah ereksi! Jadi anda boleh faham sekarang sesetengah senaman tidak sesuai untuk individu yang obesiti dan memudaratkan.


Anda boleh cuba beberapa senaman yang disyorkan kepada individu obes yang dibawah ini: Untuk individu obes, berusia dan yang mempunyai masalah imbangan pergerakan, senaman duduk adalah satu pilihan yang baik. Senaman yang dilakukan dalam keadaan duduk dapat memantapkan otot dan meningkatkan kecergasan bahagian digerakkan seperti menggerakkan tangan di atas dan mengangkat kaki sambil menggerakkan badan ke depan dan ke belakang yang dilakukan secara cergas dapat membantu membina kekuatan otot dan memudahkan individu itu melakukan senaman lebih cergas kemudian hari. Selepas sudah biasa dengan bersenam dalam duduk, senaman dalam kolam renang boleh menjadi alternatif senaman seterusnya untuk individu obesiti. Dalam air, tekanan kurang kepada sendi dan tulang dan ini mengurangkan kecederaan kepada sendi dan tulang.


Ketika dalam air, individu obes boleh gerakkan badan ketika berdiri dalam kolam renang dan menggerakkan tangan seperti mahu berenang.


Pilihan lain, senaman lain digalakkan ialah berjalan. Untuk permulaan dia perlu gunakan kasut yang sesuai untuk berjalan. Kasut yang digalakkan ialah yang mana tapaknya lembut untuk tapak kaki.


Berjalan sedikit boleh membuatkan badan berpeluh lebih dan individu itu perlu bawa air untuk minum menggantikan air yang keluar. Untuk permulaan, individu itu boleh mulakan berjalan sambil berehat antara berjalan. Dia tidak perlu berjalan jauh dan berehat apabila merasa penat.

Thursday, June 17, 2010

Ubat bukan punca

PENGHIDAP penyakit kronik terpaksa bergantung kepada pelbagai jenis ubat untuk menstabilkan dan menyembuhkan penyakit. Ada yang terpaksa makan lebih 10 jenis ubat sehingga menjadi amalan setiap kali selepas makan.

Pengambilan terlalu banyak ubat ini menyebabkan ada yang mendakwa menerima kesan kepada tenaga batin mereka. Contohnya, pesakit kencing manis apabila sering mengeluh apabila beranggapan ubat yang dimakan menjadi punca masalah klimaks.

Berdasarkan kes yang saya terima, ada pesakit kencing manis yang kecewa kerana hubungan intim mereka berakhir tanpa rasa nikmat ketika klimaks.

Sememangnya penyakit kencing manis boleh menyumbang kepada masalah itu. Ini kerana, klimaks atau kemuncak rangsangan seksual dikawal hormon testosterone yang membantu menghasilkan perjalanan darah yang lancar, rangkaian urat saraf sihat dan minda sihat.

Justeru, apabila menghidap kencing manis, urat saraf dan perjalanan darah terganggu, menyebabkan penghidapnya kerap mengalami perubahan kesihatan seperti kebas kaki dan masalah klimaks, sama ada mudah klimaks atau tiada rangsangan ketika klimaks.

Begitupun, kesan itu bukan berpunca daripada ubat yang dimakan. Jika tidak memakan ubat, akan timbul masalah lain pula, mungkin lebih teruk. Jangan salahkan ubat kerana yang perlu dilakukan adalah menjaga makan dan akur kepada nasihat doktor.


Paling penting, jangan mengetepikan ubat doktor dengan memilih mencuba ubat herba. Hari ini, ramai berpendapat ubat kencing manis doktor menjadi punca masalah klimaks, menyebabkan mereka mengambil jalan salah dengan tidak memakan ubat doktor.

Ada juga yang makan ubat ikut jadual sendiri dan bukan mengikut nasihat doktor. Perbuatan seperti itu berbahaya dan ibarat menyabung nyawa kerana mereka berisiko mengalami kerosakan buah pinggang sehingga terpaksa menjalani proses rawatan dialisis atau mencuci darah.

Jumpa doktor untuk mendapatkan kepastian. Jika kebetulan glukosa anda tinggi, ambil ubat kencing manis yang lebih baik atau buat rawatan suntikan hormon insulin. Kini, kaedah penyuntikan insulin mudah dilakukan.

Jika ujian hormon testosterone didapati kurang, rawatan hormon gantian testosterone, sama ada dalam bentuk suntikan atau ubat, dapat membantu memulihkan keadaan.

Anda juga perlu amalkan gaya hidup sihat. Ikut nasihat doktor mengenai amalan pemakanan dan lakukan senaman berkala. Senaman juga dapat membantu hormon testosterone kembali normal.

Jangan cuba makan ubat kuat atau ubat rangsangan kerana masalah itu memerlukan pemeriksaan doktor dan bukan sekadar cuba mencuba. Jika termakan ubat tidak sesuai, masalah lain pula akan berlaku.

Monday, May 17, 2010

Hasil hubungan tersasar

SOALAN

KAMI baru berkahwin lebih kurang sebulan. Masalah dihadapi ialah selepas pancutan dilakukan, air mani keluar semula dari faraj. Masalah ini berlaku setiap kali melakukan hubungan intim.

Pelbagai cara kami lakukan supaya air mani tidak keluar, termasuk meletakkan bantal di bawah punggung isteri, tetapi air mani tetap keluar. Kami bimbang jika masalah ini berterusan dan kami susah mendapat cahaya mata.

IMA
Kuala Lumpur


JAWAPAN

Sememangnya air mani akan terkeluar dari faraj selepas ejakulasi dan fenomena ini dikenali sebagai ‘effluvium seminis’ atau limpahan keluar air mani.


Jika kebetulan perempuan itu juga menghasilkan banyak cecair dari farajnya, cecair yang keluar itu digelar ‘effluvium feminis’. Cecair ini mengandungi campuran air mani suami dan cecair faraj perempuan.

Limpahan cecair akan berkurangan atau dapat dikawal jika wanita itu tidak kemut atau tidak menutup paha atau tidak meluruskan kaki selepas selesai seks.

Jika kebetulan rahim wanita itu ‘retroverted’ atau terlentuk ke belakang, limpahan air mani akan berlaku juga walau sudah cuba mengawalnya.

Cara paling sesuai ialah untuk wanita itu mengubah posisi ketika bersetubuh. Posisi yang digalakkan untuk wanita mempunyai rahim yang terlentuk ke belakang ialah posisi kemasukan ereksi suami dari belakang dengan isteri menunduk. Posisi ini dikenali sebagai ‘genupectoral position’.

Sangat mustahak untuk anda kekalkan ereksi dalam faraj ketika anda mendayung. Jangan keluar masuk faraj ketika mendayung kerana setiap kali anda masuk, angin pun akan masuk.

Selepas selesai seks, perempuan itu tidak digalakkan bangun untuk mencuci anggota kelamin. Pergerakan itu akan membuatkan air mani terkeluar dan mencuci anggota kelamin akan membunuh sperma.

Selain itu, jika anda dan pasangan merancang untuk cepat hamil, pastikan anda berdua bersetubuh sekurang-kurangnya tiga kali seminggu atau lebih terutama pada waktu subur isteri.

Jika isteri anda mempunyai putaran haid yang ‘regular’, waktu suburnya bermula dengan kehadiran lendir umpama putih telur belum masak.

Jika sudah masuk enam bulan (jika umur isteri pada lingkungan akhir 20-an atau awal 30-an) atau setahun (jika umur isteri awal 20-an) belum ada tanda kehamilan, sebaik-baiknya anda berdua berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan awal kesuburan.

Monday, April 19, 2010

Cecair putih tanpa henti

SAYA mengalami masalah cecair putih seperti air mazi yang keluar daripada hujung zakar.

Walaupun dalam kuantiti sedikit, ia keluar secara terus menerus. Pada hujung kepala zakar juga berasa gatal. Adakah ini disebabkan jangkitan kuman? Apakah cara untuk menyelesaikannya? IMI
Bukit Beruntung, Selangor Salur kencing lelaki mengandungi lapisan mukosa yang mengandungi banyak pepundi kecil (pepundi littres) yang menghasilkan cecair putih jernih yang membuatkan salur itu sentiasa lembap.


Ini memudahkan air kencing keluar dengan lancar dan juga untuk kelancaran ejakulasi.


Dalam keadaan separa ereksi, darah akan masuk dengan banyak dalam lapisan mukosa dan membuatkan mukosa itu aktif menghasilkan lelehan jernih.


Apabila zakar mengendur atau mengecil, lebihan cecair akan kelihatan di penghujung zakar.


Ini yang dikatakan air mazi. Ia najis dan boleh membatalkan air sembahyang. Dalam keadaan teruja, cecair itu akan dihasilkan dengan banyak dan kadangkala ia boleh mengganggu hubungan kelamin apabila lelaki berasa kurang selesa dan hilang tumpuan untuk bersetubuh.


Keadaan ini dikenali sebagai ‘dhant’ di Pakistan dan Afghanistan. Lelaki negara itu menganggapkan fenomena ini sebagai sesuatu masalah kesihatan yang mengancam syahwat mereka! Sebenarnya, ia hanya lelehan air mazi yang berlebihan dan keadaan ini di kalangan lelaki Melayu dikenali sebagai ‘resdung zakar’.


Keadaan ini tiada rawatan dan cecair yang keluar itu boleh digunakan sebagai pelicin ketika nak bersetubuh dengan pasangan! Di sebalik fenomena semula jadi itu, wujud keadaan yang mana lelehan jernih dari salur kencing ini terjadi akibat kesan jangkitan kuman dan kuman virus akibat hubungan seksual rambang, sama ada melalui persetubuhan atau melalui seks oral tanpa penggunaan alat pencegah (kondom).


Jika anda memang ada melakukan seks rambang dengan sesiapa dan mengalami masalah ini, kemungkinan besar anda menghidap jangkitan penyakit kelamin dari kuman gonorrhea atau kuman virus chlamydia.


Anda perlu jumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan ujian darah atau ujian pemeriksaan cecair untuk mengesan kuman atau kuman virus itu kerana rawatan untuk jangkitan itu tidak sama.

Saturday, April 17, 2010

Debar bakal pengantin

SAYA akan melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihan tidak lama lagi.

Sebagai pengantin baru, bagaimanakah harus saya menghadapi malam pertama bagi memberi kepuasan kepada kedua-dua pihak dan cara untuk menjaga alat sulit supaya sentiasa dalam keadaan baik? EDIE
Selangor Tahniah kerana anda akan ke jinjang pelamin dengan gadis pilihan tidak lama lagi. Saya pasti anda dan pasangan sudah menjalani kursus praperkahwinan dan maklum sedikit sebanyak mengenai kesihatan keluarga dan hubungan jimak serta hukum daripada ustaz dan doktor yang menjalankan kursus itu.


Anda mungkin tidak tahu dalam pasaran terdapat satu cakera padat yang khusus dibuat untuk pasangan yang baru berkahwin untuk memberi sedikit sebanyak mengenai latar belakang perkahwinan, dilema malam pertama dan perkara yang boleh berlaku pada malam pertama seperti gagal lakukan penembusan, mati pucuk malam pertama dan pasangan perempuan tidak tahu buka pintu faraj atau ‘mati putik’ malam pertama.


Tajuk cakera padat itu adalah ‘Cinta Perkahwinan Dan Kesihatan Seksual’, ia boleh didapati melalui tempahan di Internet atau kedai cakera padat.


Saya pasti anda dan pasangan sudah buat persediaan untuk ‘malam’ itu. Jangan lupa jeli pelicin kerana sebenarnya ia sangat mustahak untuk menyenangkan kemasukan ereksi ke dalam faraj.


Cuma saya ingin cadangkan supaya anda boleh lakukan sentuhan pertama itu ketika anda berbulan madu.


Sebagai seorang Islam, anda juga perlu tahu yang hubungan seksual antara anda dan pasangan itu suatu ibadah.


Sudah tentu anda berdua perlu berada dalam keadaan bersih dan berbau harum dan anggota kelamin masih dalam keadaan sihat dan segar.


Sebelum mendekati pasangan anda, wajib untuk anda melakukan sentuhan dan kucupan intim untuk menaikkan perasaan ghairah pasangan supaya dia dalam keadaan bersedia untuk melakukan adegan penetrasi.


Jika jalanan itu sempit, anda boleh cadangkan pasangan legakan kemutan dan anda dan dia boleh menggunakan pelicin untuk menyenangkan perjalanan.


Apabila keadaan sudah mula lega, anda berdua tidak perlu lagi menggunakan pelicin kerana cecair faraj sudah mencukupi!

Wednesday, March 17, 2010

Tempoh sperma

SAYA ingin tahu, benarkah sperma ada tempoh matang? Apa akan berlaku jika sperma tidak dikeluarkan selepas tempoh itu? Adakah ia akan mengakibatkan kesan sampingan kepada kesihatan?

SAYA ingin tahu, benarkah sperma ada tempoh matang? Apa akan berlaku jika sperma tidak dikeluarkan selepas tempoh itu? Adakah ia akan mengakibatkan kesan sampingan kepada kesihatan? PENASARAN
Kajang, Selangor
Lelaki dewasa sihat menghasilkan 100 hingga 300 juta sperma sehari. Sperma dihasilkan oleh kilang sperma ‘seminiferous tubules’ yang banyak dalam buah zakar.


Jika isi padu buah zakar itu besar, kapasiti kilang pun besar. Jadi lelaki yang mempunyai isi padu buah zakar yang kurang dari 12 mililiter (ml) tidak mungkin menghasilkan sperma yang mencukupi. Jika isi padu buah zakar 8 ml ke bawah, kemungkinan kilang sperma sudah rosak.


Proses pembiakan sperma dalam kawalan hormon kesuburan FSH dan testsoterone. Tahap suhu buah zakar juga memainkan peranan. Kilang sperma terencat jika terdedah kepada suhu badan (37 darjah Celsius).


Sebaik-baiknya suhu dalam kerandut lebih kurang 3-4 darjah Celsius kurang daripada suhu badan supaya kilang sperma dapat berfungsi dengan baik.


Proses pembiakan sperma dikenali sebagai spermatogenesis. Semua proses ini memakan masa 60 hari. Sel benih awal tiada ekor dan proses kematangan sel sperma berlaku dalam sel ‘sertoli’. Lepas sel sperma mula matang, ia terkeluar dari sel ‘sertoli’ dan terlepas dalam ruang salur ‘semeniferous tubule’ dan mengikut arus cecair dalam salur itu untuk maju ke dalam pundi epididimis.


Air mani boleh terkeluar dalam mimpi basah dan jika ini berlaku untuk kali pertama, lelaki itu dianggarkan sudah baligh. Sperma yang lama tidak dikeluarkan menjadi lemah dan mati dan bahannya diserap badan.


Selepas dikeluarkan ke dalam faraj, sel sperma berkemampuan kekal dalam salur reproduktif perempuan lebih kurang lima hari. Jadi tiada masalah jika air mani tidak dikeluarkan.

Khasiat Tongkat Ali

SAYA terbaca mengenai Tongkat Ali yang popular di Amerika yang bernama LJ100. Namun di Malaysia saya tidak pernah terbaca apa-apa yang baik mengenainya, selain untuk syahwat lelaki dan kebanyakannya mengandungi ubat larangan seperti Sildenafil.

SAYA terbaca mengenai Tongkat Ali yang popular di Amerika yang bernama LJ100. Namun di Malaysia saya tidak pernah terbaca apa-apa yang baik mengenainya, selain untuk syahwat lelaki dan kebanyakannya mengandungi ubat larangan seperti Sildenafil.


Dikatakan juga ada campuran minuman Tongkat Ali diharamkan di beberapa negara atas sebab ia mengandungi ubat larangan. Apa pendapat doktor? REEZ
Pengkalan Chepa, Kelantan
Sebenarnya Tongkat Ali yang terkenal di Amerika yang anda maksudkan itu datangnya dari Malaysia. Ia satu-satunya ekstrak akar Tongkat Ali larut dalam air dan yang mengandungi ramuan glycopeptide amino tersendiri bergelar eurypeptide yang aktif dalam badan.


Selain itu ia mengandungi SOD atau Supraoxide Desmutase yang menghalang penghasilan ‘free radicals’ yang membuatkannya ekstak premium antioxiden yang hebat.


Jika ditinjau sejarah penggunaan Tongkat Ali, nenek moyang kita menggunakan kepingan akarnya sebagai air rebusan dengan teh atau kopi untuk tenaga selepas menghempas pulas dalam sawah padi atau ladang.


Orang Asli menggunakan air rebusannya untuk demam dan mengurangkan cirit-birit, manakala wanita Orang Asli menggunakan air rebusannya selepas keguguran untuk menguatkan otot faraj dan rahim.


Jadi Tongkat Ali bukan saja untuk lelaki, malah perempuan. Entah bagaimana pula penggunaannya dikaitkan dengan tenaga syahwat dan untuk lelaki! Kajian awal tentang ekstrak larutan alkohol akar Tongkat Ali mendapati ia mengandungi bahan toksik dan tidak sesuai digunakan.


Ekstrak larutan air didapati lebih sesuai dan selamat. Kajian awal dengan binatang mendapati ia menambah testosterone kepada tikus jantan sebanyak empat kali ganda! Selepas pasti ia selamat untuk dimulakan kajian kepada manusia, beberapa kajian akademik dijalankan oleh beberapa saintis. Kajian mengenai ekstrak akar Tongkat Ali diusahakan pada 1996 secara bersepadu oleh Institut Penyelidikan Perubatan, Kementerian Kesihatan dan MIT di Boston, Amerika.


Daripada usaha kumpulan ini, ekstrak akar Tongkat Ali didaftar sebagai ‘paten’ kepunyaan Kerajaan Malaysia di Amerika dan kini ekstrak premium ini dihasilkan oleh syarikat berkaitan kerajaan bernama Biotropics dan dijual di pasaran selain di luar negara.


Ekstrak ini didaftar oleh sebuah syarikat antarabangsa iaitu HP Ingredients, pemborong ekstrak herba di Amerika sebagai LJ100 dan kini menjadi satu ramuan makanan tambahan bagi membina badan dan tenaga.


Mungkin jika anda mahukan maklumat lanjut, anda boleh masuk ke laman web LJ100 atau laman Biotropics Malaysia Berhad dan anda boleh dapat semua maklumat saintifik berkenaannya.


Kajian yang pernah dijalankan di Malaysia sejak 1996 menunjukkan ekstrak premium ini selamat dan tidak memberi kesan sampingan kepada buah pinggang dan hati.


Ia dapat merangsang kilang testosterone untuk menghasilkan testosterone jika badan memerlukannya dan ini membuatkannya sebagai makanan tambahan yang sesuai untuk lelaki yang mengalami ‘andropause’. Ia juga dapat mengimbangkan hormon dalam badan supaya badan dapat berfungsi dengan cergas.


Tongkat Ali bukan untuk seks lelaki saja dan tidak perlu masukkan ubat viagra atau apa saja untuk memasarkannya. Secara sendiri, ia cukup hebat tetapi anda perlu pastikan anda dapat ekstrak akar Tongkat Ali yang premium.

Rawat mandul

DISEBABKAN ego atau sememangnya tidak mahu ambil tahu, ramai lelaki didapati jahil mengenai isu kesuburan mereka. Bagi mereka, asalkan boleh bersetubuh, itu petanda mereka subur.

Ada juga yang berkahwin lagi dengan alasan isteri tidak boleh hamil, sedangkan diri sendiri sebenarnya mandul, bukan isteri.


Namun, perkembangan pengetahuan dan sikap keterbukaan masyarakat menjadikan lelaki lebih peka terhadap kesuburan mereka dan mengambil tahu jika mengalami masalah sperma atau tidak dapat menghamilkan isteri.


Masalah kesuburan yang berpunca daripada lelaki ialah kegagalan melakukan seks penetratif dan kemampuan ejakulasi.


Tanpa ejakulasi, air mani tidak dapat masuk ke dalam faraj dan sperma tidak dapat bertemu telur.


Jika ada ejakulasi, faktor yang perlu diambil kira ialah air mani mengandungi sperma, bilangan sperma mencukupi dan sperma aktif serta berbentuk normal.


Jika seseorang lelaki itu mempunyai bilangan sperma yang kurang, itu petanda masalah kepada kilang spermanya.


Yang perlu dilakukan ialah pemeriksaan buah zakar dan mengukurnya dengan alat pengukur yang dikenali sebagai orkodometer untuk menyukat isi padu buah zakar kerana jika saiz kurang daripada 10 mililiter (mm), kemungkinan kilang tidak aktif.


Selain itu, pemeriksaan teliti perlu dilakukan untuk mengenal pasti jika salur ven berpintal atau varikosel yang boleh menyebabkan kilang terdedah kepada kepanasan dan bahan toksik akibat kemendapan darah.


Rawatannya ialah dengan mengikat salur ven yang berpintal. Jika isi padu buah zakar normal, ujian susulan, termasuk ujian hormon kesuburan, perlu dilakukan.


Jika hormon kesuburan rendah atau rendah tapi dalam lingkungan normal, ubat penyubur boleh diberi dan tiga bulan kemudian ujian air mani diulangi untuk mengenal pasti keberkesanan rawatan dengan ubat penyubur.


Selain ubat penyubur, rawatan alternatif dengan herba tertentu boleh dicuba jika didapati tiada sebab kenapa sperma kurang dan kualiti sperma tidak sempurna.


Di pasaran, beberapa herba pernah dikaji dan herba ini perlu dimakan untuk beberapa bulan (kira-kira tiga hingga enam bulan) sebelum ujian air mani diulangi.


Cuma, ingin saya nasihatkan sesiapa yang berhasrat untuk mencuba herba itu, pastikan anda sudah menjalani pemeriksaan kesuburan untuk lelaki secara teliti kerana tidak perlu menggunakannya jika tiada sebarang masalah.

Bahaya seks ketika haid

ISLAM melarang suami menyetubuhi isteri ketika isteri dalam haid, tetapi jika hidup bertuankan nafsu, ada yang tetap melakukannya.

Barangkali kefahaman mengenai darah haid itu kurang, menyebabkan ada suami menyangka tiada masalah jika bersetubuh ketika isteri uzur.


Mengikut pandangan dan kefahaman kuno, darah haid itu berbahaya. Jika jatuh ke tanah, ia membuatkan tanah itu tidak subur. Malah, wanita yang datang haid diasingkan dan kadangkala dikurung dalam bilik sehingga kembali suci.


Ada juga pandangan kononnya jika alat kelamin lelaki terkena darah haid, dia mungkin mati pucuk. Sebahagian besar daripada pandangan itu adalah mitos belaka, tetapi di sebalik mitos, ada juga kebenaran.


Haid sebenarnya ialah selaput dalam rahim atau endometrium yang tertanggal dari dinding rahim selepas selesai putaran hidupnya dan menjalani proses hancur lebur dan keluar dari rahim melalui saluran serviks dan faraj.


Ia bangkai yang membabitkan tisu dan sel mati dengan kandungan bakteria dan berbau seperti bangkai. Jika hubungan kelamin dilakukan pada waktu itu, wanita terdedah kepada air mani dan jika ada kuman perosak, tentu kuman itu mudah membiak dengan adanya sel dan tisu berkenaan.


Jika jangkitan merebak ke rahim dan salur rahim, kemungkinan keradangan organ boleh berlaku sehingga menjejaskan alat sulit.


Malah, ada juga kemungkinan jangkitan terbabit merebak terus ke dalam salur darah dan mengakibatkan kemasukan kuman dalam darah menerusi keadaan dikenali sebagai bacteriaemia, yang boleh menjejaskan kesihatan wanita dan mengakibatkan maut!

Hubungan seksual ketika haid juga mengundang risiko berlakunya pendarahan berlebihan sehingga menjejaskan kesihatan.


Memandangkan hubungan seksual dalam pandangan Islam ialah ibadat, melakukannya ketika wanita datang haid adalah salah daripada segi hukum Islam.


Sebabnya bukan saja daripada segi kekotoran dan najis yang keluar, tetapi kemungkinan berlaku kemudaratan kepada kesihatan wanita.


Sebahagian besar wanita pula mendapati ketika dalam haid, nafsu syahwat meningkat secara mendadak dan selera seks mereka mudah terbuka sehingga sanggup melakukan seks ketika itu.


Ada juga lelaki gemar melakukan hubungan seks ketika wanita dalam haid. Kononnya mereka seronok dengan bau darah haid.


Ini dikaitkan dengan ‘fetihisme’ atau ‘fetish’ kepada darah haid, yang mana perasaan seksual mereka mencapai satu keadaan luar biasa apabila terdedah kepada darah haid.


Tidak kurang juga pasangan yang sanggup melakukan seks ketika wanita dalam haid kerana tidak mahu wanita itu hamil.


Bagaimanapun, jika hubungan seksual dilakukan ketika haid berkurangan, kemungkinan wanita itu boleh hamil. Justeru, pendapat mengatakan wanita tidak akan hamil jika bersetubuh ketika dalam haid adalah tidak betul.


Pada pendapat saya, sebagai seorang Islam, kita perlu ikut hukum. Hubungan seksual masih boleh dilakukan ketika wanita itu kedatangan haid tetapi tanpa seks, seperti sentuhan intim di bahagian atas pusat.

Keinginan terhalang

SAYA berumur 55 tahun. Isteri pula berumur 51 tahun dan sudah menopaus. Sesekali dalam setahun rasa ingin mengadakan hubungan kelamin, tetapi kemaluan isteri saya kering. Apabila melakukan hubungan, ereksi tidak dapat memasukkan disebabkan kemaluannya sakit dan ketat.

Adakah apa-apa ubat atau (krim pelincir) yang membolehkan alat kelamin isteri saya menjadi basah, seterusnya dapat ‘bersama’ tanpa berasa sakit?

MAHU TAHU
Shah Alam, Selangor

Hubungan keintiman seksual tiada had umur kerana naluri, nafsu dan syahwat kekal sehingga ke liang lahad. Bagi wanita dan lelaki veteran yang masih ingin melakukan hubungan penetratif seksual, mereka perlu bersedia.


Ada beberapa cabaran yang sebahagiannya ialah anggota sulit isteri yang kering, kesat, pembukaan faraj yang sempit dan mengecut, manakala anggota sulit suami yang tidak dapat erek lama dan kurang kepadatannya.


Anggota sulit wanita yang masih ada kemampuan mendapat zuriat berada dalam keadaan gebu, lembut dan mudah meluas. Ini kerana kesan dan pengaruh hormon kewanitaan estrogen kepada kulit dan otot lantai pelvis.


Apabila wanita itu putus haid, dalam masa lima tahun kulit menjadi kesat dan faraj menjadi sempit jika persetubuhan penetratif jarang atau tidak dilakukan.


Cara untuk menjaga anggota itu supaya sentiasa lembut dan tidak sempit ialah menyapu gel pelembap atau perapi anggota sulit perempuan berbentuk krim kepada bahagian luar iaitu di bibir besar dan kecil.


Kadangkala wanita boleh gunakan batang plastik yang dikenali sebagai alat pelega atau ‘dilator’ untuk melegakan pembukaan faraj supaya sentiasa dalam keadaan bersedia bagi memudahkan suami menyalurkan ereksinya ke dalam tanpa wanita veteran itu terasa sakit.


Ini satu pendekatan untuk mengelakkan faraj daripada menjadi tidak berguna.


Lelaki yang mengalami lemah tenaga batin iaitu gagal mencapai ereksi yang sesuai untuk melakukan hubungan penetratif boleh jumpa doktor untuk rawatan moden. Jangan membazirkan duit berjumpa tukang urut kerana perbuatan itu sia-sia saja.


Jangan makan ubat kuat yang dijual di pasaran kerana kebanyakannya ada campuran ubat beracun dan boleh memudaratkan kesihatan. Jumpa doktor untuk pemeriksaan dan rawatan.

Tidak berfungsi

SAYA berusia 26 tahun. Baru-baru ini saya perasan lubang dekat kepala zakar saya tidak sama dengan orang lain. Saya ada dua lubang. Lubang atas yang hujung kepala tak berfungsi. Saya dikatakan menghidap glandular hypospadias.

Yang menjadikan kemusykilan saya, adakah ia akan mempengaruhi aktiviti seks saya apabila berkahwin nanti? Setahu saya, ia memerlukan pembedahan pembetulan dan lazimnya ia dilakukan ketika kanak-kanak. Harap doktor dapat membantu.




MAHU TAHU
Kuala Lumpur

Mustahak untuk kita mengenali anggota kelamin sendiri supaya dapat menjaganya dengan baik. Jadi lelaki disyorkan melakukan pemeriksaan kendiri anggota kelamin dengan meneliti zakar, kerandut buah zakar dan berasa kedua-dua buah zakar untuk mengenali jika ada sesuatu yang luar biasa.


Banyak lelaki tidak peka dengan keadaan anggota kelamin mereka dan hanya sedar apabila masalah serius berlaku. Anda perasan anggota kelamin anda mempunyai dua pembukaan lubang kencing, yang mana lubang di penghujung tidak berfungsi manakala lubang di bawah penghujung zakar berfungsi.


Memang masalah anggota kelamin yang anda alami itu dikenali sebagai hipospadias dan pembukaan lubang yang berfungsi itu terbuka di pangkal kepala zakar, maka istilah teknikal perubatan digunakan ialah ‘glandular hypospadias’.


Memandangkan pembukaan lubang kencing masih di penghujung zakar, air mani jika terpancut keluar pun akan keluar tanpa sekatan atau gangguan. Bagaimanapun, elok anda jumpa doktor untuk pemeriksaan.


Ada kalanya penghujung zakar kembang dengan luas dan menyukarkan penghujung zakar masuk dalam faraj. Jika ini berlaku, bahagian yang kembang itu perlu diperbetulkan melalui pembedahan plastik.


Jika perkara itu tidak berlaku, anda tidak perlu khuatir.

Tiada berasa apa-apa

SAYA sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Sebelum ini saya seperti tidak dapat menahan nafsu seks dan hampir tiap hari melakukan hubungan dengan isteri tanpa masalah.

Namun masalah timbul selepas saya bekerja di tempat baru, menyebabkan nafsu saya berkurangan kerana tidak dapat berasa nikmat ketika pancutan berlaku.


Ketika bersama isteri, saya masih dapat menikmati hanya di bahagian zakar tetapi ketika pancutan saya tidak berasa apa-apa! Saya juga tidak terasa apa-apa bila air kencing sudah penuh. Saya ingin tahu mengapa boleh terjadi begini? Adakah kerana kerja saya yang memerlukan saya menunggang motosikal terlalu lama iaitu antara empat hingga lima jam setiap sehari menyebabkan ia terjadi?

SUAMI BUNTU
Klang, Selangor

Anda sudah pun menjelaskan sebab masalah perasaan kebas dan tiada rasa yang berlaku kepada anggota kelamin anda iaitu terpaksa menunggang motosikal terlalu lama.


Isu kebas di bahagian kelangkang dan kesudahannya kegagalan untuk mencapai ereksi atau menikmati rangsangan seksual yang membina seperti penghayatan orgasma yang anda alami itu biasa dikaitkan dengan amalan duduk di atas basikal atau motosikal.


Perkara ini bukan saja dialami lelaki, tetapi wanita juga boleh mengalaminya apabila mereka duduk lama di atas basikal atau motosikal atau duduk bertenggek di atas bahagian antara lubang najis dan anggota kelamin, bahagian yang dikenali sebagai ‘perineum’.


Apabila bahagian perineum tertekan, perjalanan darah ke anggota kelamin lelaki dan juga perempuan tergendala, sama juga dengan tindak balas urat saraf yang juga terganggu apabila tertekan.


Dalam keadaan tertekan, anggota kelamin mengalami perasaan kebas, perjalanan darah terganggu dan mengakibatkan anggota kelamin tidak mudah mengembang ketika teruja dan kurang menghayati perasaan orgasma.


Semua simptom ini dikenali sebagai ‘perineum’. Jadi apabila perjalanan darah dan urat saraf bahagian anggota kelamin tergendala, mereka yang menunggang motosikal atau basikal akan mengalami simptom perineum dan mengalami kegagalan untuk menikmati rangsangan pada anggota kelamin.